Tok Kenali ialah satu nama yang paling terkenal dalam dunia
pengajian Islam menggunakan sistem pondok di Malaysia. Bahkan beliau juga
terkenal di seluruh alam Melayu. Oleh itu, memang riwayat beliau perlu
diketahui oleh masyarakat. Dalam dua keluaran terakhir perbicaraan tentang
ulama, telah disentuh perjuangan tokoh yang antipenjajah (Tok Ku Paloh
Terengganu dan Haji Sulong al-Fathani). Ada orang berpendapat bahawa Tok Kenali
tidak pernah terlibat dalam perjuangan yang bercorak demikian.
Bagi saya, pendapat seperti demikian itu adalah hanya ditinjau dari satu sudut yang belum menyeluruh.
Bagi saya, pendapat seperti demikian itu adalah hanya ditinjau dari satu sudut yang belum menyeluruh.
Tok Kenali ialah murid yang paling dipercayai
oleh Syeikh Ahmad al-Fathani, oleh itu hampir-hampir tidak ada satu rahsia
perjuangan Syeikh Ahmad al-Fathani yang tidak diketahui oleh Tok Kenali. Di
sini saya sentuh sedikit saja. Syeikh Ahmad al-Fathani ialah tokoh pertama dari
lingkungan dunia Melayu sejagat yang secara diplomatik pergi ke Istanbul, Turki
untuk melaporkan perbuatan tiga bangsa yang menjajah di dunia Melayu ketika
itu. Bangsa-bangsa itu ialah Inggeris, Belanda dan Siam. Walau bagaimanapun, supaya
suasana tidak selalu keras dan tegang dalam corak pemikiran jihad zhahiri,
kisah Tok Kenali saya fokuskan kepada pemikiran jihad shufi. Jihad zhahiri
lebih menitikberatkan perjuangan secara fizikal, sedang jihad shufi lebih
mengutamakan pembinaan dalaman, qalbi atau hati dan rohani. Kedua-dua jenis
jihad itu adalah penting dikombinasikan secara sepadu. Selain itu dalam
disiplin ilmu akidah dan tasawuf ia dikenali dengan istilah ‘Wali Allah’ dan
‘karamah’ (istilah Melayu: keramat).
Tradisi penulisan para ulama Islam juga banyak
menceritakan tentang ‘karamah’ para Wali Allah. Tulisan saya dalam Utusan
Malaysia yang telah lalu (133 siri) tentang ‘karamah’ sengaja tidak saya sentuh
kerana saya lebih mengutamakan riwayat yang berdasarkan fakta. Oleh kerana ramai
yang minta kepada saya supaya menulis tentang karamah yang pernah berlaku pada
Tok Kenali maka permintaan itu saya paparkan berdasarkan cerita yang telah saya
kumpulkan daripada pelbagai sumber sejak tahun 1950-an lagi.
Karamah Tok Kenali
Nama sebenar Tok Kenali ialah Haji Muhammad Yusuf
bin Ahmad al-Kalantani, lahir pada 1287 H/1871 M, wafat Ahad, 2 Syaaban 1352
H/19 November 1933 M. Yang saya riwayatkan ini adalah berdasarkan pelbagai
cerita yang saya dengar, oleh itu tidak terikat sangat dalam sistem penulisan
ilmiah.
Yang saya ingat pada tahun 1953, ibu saya Hajah
Wan Zainab binti Syeikh Ahmad al-Fathani hanya menyebut nama murid ayahnya itu
dengan istilah Awang Kenali. Menurutnya, Syeikh Ahmad al-Fathanilah yang
pertama menggunakan istilah ‘Awang’ itu. Riwayatnya, sewaktu Syeikh Ahmad
al-Fathani menjadi utusan ulama Mekah ke Beirut dan Mesir untuk menyelesaikan
pertikaian pendapat antara Saiyid Yusuf an-Nabhani (Beirut) dengan Syeikh
Muhammad Abduh (Mesir) dalam rombongan itu, Awang Kenali ikut serta.
Ketika sampai di Bukit Tursina, kerana di tempat itulah Nabi Musa mendengar ‘Kalam Allah’, Syeikh Ahmad al-Fathani menyuruh murid-muridnya munajat secara khusus. Awang Kenali ditugaskan supaya minta menjadi ulama. Nik Mahmud ditugaskan munajat minta menjadi seorang pembesar Kelantan. Setelah Tok Kenali munajat, Syeikh Ahmad al-Fathani menyatakan bahawa ilmu Awang Kenali tinggi hanya mencapai ‘awan’ tidak menjangkau kepada langit. Ilmu yang sampai ke peringkat ‘awan’ itulah yang dapat dijangkau oleh kebanyakan ulama di tanah Jawi.
Ketika sampai di Bukit Tursina, kerana di tempat itulah Nabi Musa mendengar ‘Kalam Allah’, Syeikh Ahmad al-Fathani menyuruh murid-muridnya munajat secara khusus. Awang Kenali ditugaskan supaya minta menjadi ulama. Nik Mahmud ditugaskan munajat minta menjadi seorang pembesar Kelantan. Setelah Tok Kenali munajat, Syeikh Ahmad al-Fathani menyatakan bahawa ilmu Awang Kenali tinggi hanya mencapai ‘awan’ tidak menjangkau kepada langit. Ilmu yang sampai ke peringkat ‘awan’ itulah yang dapat dijangkau oleh kebanyakan ulama di tanah Jawi.
Daripada perkataan ‘awan’ itulah kemudian
bertukar menjadi ‘Awang’. Cerita yang sama juga saya dengar daripada Haji Wan
Ismail bin Hawan, Qadhi Jala (cerita didengar pada tahun 1970). Dalam
surat-surat Syeikh Ahmad al-Fathani kepada pihak lain, termasuk kepada orang
Arab dan Turki, apabila melibatkan muridnya itu, beliau mengekalkan tulisan
dengan istilah ‘Awan Kenali’ saja tanpa menyebut nama lainnya.
Pada tahun 1969 saya dengar cerita bahawa Tok Kenali pertama-tama datang ke Mekah penuh dengan peristiwa yang pelik-pelik (ajaib). Kehidupan sehari-harinya penuh dengan tawakal. Beliau tidak mempunyai pakaian yang lebih daripada sehelai, tidak memiliki wang, tidak siapa mengetahui beliau makan ataupun tidak pada setiap hari siang ataupun malam. Hampir-hampir tidak ada orang yang mengenalinya di Mekah ketika itu.
Pada tahun 1969 saya dengar cerita bahawa Tok Kenali pertama-tama datang ke Mekah penuh dengan peristiwa yang pelik-pelik (ajaib). Kehidupan sehari-harinya penuh dengan tawakal. Beliau tidak mempunyai pakaian yang lebih daripada sehelai, tidak memiliki wang, tidak siapa mengetahui beliau makan ataupun tidak pada setiap hari siang ataupun malam. Hampir-hampir tidak ada orang yang mengenalinya di Mekah ketika itu.
Orang yang tidak mengenalinya hanya memperhatikan
keanehannya berada dari satu halaqah ke satu halaqah yang lain dalam Masjid
Haram, Mekah. Keberadaannya dalam sesuatu halaqah tidak pula membawa sesuatu
kitab seperti orang lainnya. Pada kebanyakan masa ketika duduk dalam halaqah
beliau memejamkan mata, orang menyangka beliau bukan mendengar pelajaran tetapi
tidur. Antara ulama yang mengajar dalam Masjid al-Haram ketika itu ada yang
tembus pandangannya, diketahuinyalah bahawa pemuda yang aneh itu bukanlah
sembarangan orang, martabatnya ialah seorang ‘Wali Allah’.
Walau bagaimanapun, tidak seorang ulama peringkat
Wali Allah di Mekah mahu membuka rahsia itu kepada murid-muridnya. Ketika Tok
Kenali sampai di Mekah, Syeikh Ahmad al-Fathani telah mengetahui pemuda yang
berasal dari Kelantan itu, tetapi sengaja tidak dipedulikannya kerana pada
firasat Syeikh Ahmad al-Fathani pemuda Kelantan itu sama ada lekas ataupun
lambat akan datang juga kepada beliau.
Dalam masa berbulan-bulan peristiwa seperti di
atas, pada satu ketika Tok Kenali mengunjungi halaqah Syeikh Ahmad al-Fathani.
Tok Kenali duduk jauh di belakang pelajar-pelajar lain. Syeikh Ahmad al-Fathani
telah mempersiapkan sekurang-kurangnya tiga kemusykilan atau masalah, yang pada
pemikiran Syeikh Ahmad al-Fathani tidak akan dapat dijawab oleh siapa pun yang
hadir dalam majlis pengajiannya, kecuali seseorang itu memiliki pandangan
‘kasyaf’ ataupun telah memperoleh ‘ilmu ladunni’.
Sewaktu Syeikh Ahmad al-Fathani melemparkan
pengujian atau pertanyaan kepada semua pelajar, Tok Kenali seperti orang
tidur-tidur saja. Semua pelajar terdiam, tidak seorang pun berkemampuan
menjawab masalah yang dikemukakan oleh Syeikh Ahmad al-Fathani. Tiba-tiba
Syeikh Ahmad al-Fathani menyergah pemuda Kelantan yang sedang tidur. Pemuda itu
terkejut. Syeikh Ahmad al-Fathani menyuruhnya supaya datang ke hadapan duduk
bersama beliau. Disuruhnya pemuda Kelantan itu menjawab masalah ujian yang
dikemukakan lalu semuanya dijawab dengan sejelas-jelasnya.
Setelah peristiwa itu Tok Kenali menjadi murid
yang paling mesra dengan Syeikh Ahmad al-Fathani. Bahkan Tok Kenali menjadikan
dirinya sebagai ‘khadam’ kepada Syeikh Ahmad al-Fathani. Seluruh gerak dan diam
Tok Kenali hanyalah berkhidmat kepada gurunya itu, kerana diketahuinya bahawa
seluruh kerja Syeikh Ahmad al-Fathani semata-mata untuk kepentingan agama Islam
dan bukan kepentingan peribadinya. (Cerita yang sama juga didengar daripada
Tuan Guru Haji Mahmud bin Yusuf Juani di Pondok Gajah Mati, Kedah pada tahun
1970. Beliau ialah murid Tok Bermin, sahabat Tok Kenali).
Hampir semua murid Tok Kenali yang pernah saya
temui meriwayatkan bahawa orang yang pernah belajar dengan Tok Kenali semuanya
mendapat kedudukan dalam masyarakat. Apabila seseorang murid itu lebih
berkhidmat kepada beliau maka ternyata akan lebih pula ilmu yang diperolehnya.
Demikian juga kedudukan dalam masyarakat. Yang dimaksudkan berkhidmat di sini
ialah ada yang pernah menyiram Tok Kenali ketika mandi. Bahkan ada murid yang
pernah membasuh beraknya sesudah buang air besar.
Murid yang sampai kepada kedua-dua peringkat ini
saja yang menjadi ulama besar, antara mereka termasuk Syeikh Idris al-Marbawi
dan Syeikh Utsman Jalaluddin Penanti. (Sumber cerita ini daripada murid beliau,
Tuan Guru Haji Abdur Rahman bin Husein al-Kalantani, Mufti Mempawah, yang
didengar pada tahun 1969 di Mempawah; Tuan Guru Haji Mahmud di Gajah Mati,
Kedah pada tahun 1970; Qadhi Haji Wan Ismail bin Hawan di Jala pada tahun 1970;
Tuan Guru Haji Abdur Rahim Kelantan di Mekah pada tahun 1979, dan masih ada
yang lain yang belum perlu disebutkan.)
Walaupun telah diketahui umum Tok Kenali berasal
dari Kelantan tetapi sewaktu saya mengembara ke negeri Caiyya (nama asalnya
Cahaya) yang terletak jauh ke Utara Patani dan Senggora, orang tua-tua
bercerita bahawa asal usul datuk nenek Tok Kenali adalah dari Cahaya.
Diriwayatkan ada dua atau tiga kali Tok Kenali pernah datang ke negeri Cahaya.
Setiap kali Tok Kenali datang beliau dimuliakan orang. Tempat yang menjadi
laluan Tok Kenali dihamparkan dengan kain kuning, demikian juga tempat
duduknya. Orang ramai datang berduyun-duyun menziarahi Tok Kenali kerana
mengambil berkat keramatnya. Ada orang tertentu yang didoakan oleh Tok Kenali
ternyata dikabulkan oleh Allah sebagaimana doa yang beliau ucapkan (riwayat ini
didengar di Caiya (Cahaya) pada 1992).
Penulisan
Penglibatan Tok Kenali dalam penulisan adalah
sebagai bukti beliau seperti juga ulama-ulama terkenal lainnya. Beliau ialah
Ketua Pengarang majalah Pengasuh yang pertama ketika majalah itu mula-mula
diterbitkan. Dari sini dapat kita buktikan bahawa majalah Pengasuh merupakan
majalah Islam yang paling lama dapat bertahan di Nusantara. Majalah Pengasuh
masih kekal diterbitkan hingga sekarang ini (1427 H/2006 M) oleh Majlis Agama
Islam Kelantan. Semua majalah Islam di Nusantara yang diterbitkan peringkat
awal, bahkan termasuk yang agak terkebelakang, semuanya tidak diterbitkan lagi.
Karya-karya Tok Kenali yang ditulis dalam bentuk
risalah atau kitab pula antaranya ialah Risalatud Durril Mantsur, yang selesai
ditulis pada bulan Jumadil Akhir 1310 H/Disember 1892 M. Kandungannya merupakan
terjemahan dan penjelasan fadhilat Burdah Bushiri. Dicetak dalam bentuk huruf
batu/litografi oleh Syeikh Abdullah Mujallid, Mekah pada Jumadilakhir 1310 H.
Karya Tok Kenali dalam bidang ilmu sharaf pula
ialah Madkhal Kamil fi ‘Ilmis Sharfi, selesai penulisan pada 15 Rabiulawal 1351
H. Kandungan merupakan karya tashhih tentang ilmu sharaf. Kemungkinan maksud
daripada gurunya Syeikh Ahmad al-Fathani, iaitu karya berjudul Abniyatul Asma’
wal Af’al. Dicetak oleh Mathba’ah al-Asasiyah al-Kalantaniyah atas perbelanjaan
Haji Wan Daud bin Haji Wan Sufyan.
Karya Tok Kenali dalam bidang ilmu nahu pula ialah Mulhiq li Miftahit
Ta’allum fi I’rabi Matnil Ajrumiyah wal Amtsilah ‘ala Ratbih, selesai penulisan
pada 29 Sya’ban 1354 H. Membicarakan ilmu nahu merupakan huraian kitab Matn
al-Ajrumiyah. Kitab ini dikumpulkan atau ditulis kembali oleh salah seorang
muridnya iaitu Tuan Guru Haji Abdullah Thahir bin Ahmad, Bunut Payung. Dicetak
oleh Persama Press, Pulau Pinang atas kehendak Tuan Guru Abdullah Thahir bin
Ahmad bin Muhammad Zain pada 9 Safar 1356 H.Gambar Guru Tok Kenali
1. Tuan Guru Ahmad Al Fatani
2. Di antara murid Tok Kenali
SYEIKH MAHMUD NASRI OTHMANI
Di antara murid Syeikh Mahmud yang boleh di hubungi ialah Syeikh Ahmad Junaidi yang berada di Selama, Perak. Pengasas Angkatan Bina Jati Diri Malaysia.
Rujukan : http://jalanakhirat.wordpress.com/2010/03/05/tok-kenali/
No comments:
Post a Comment