Latar
Belakang
Nama penuh beliau ialah Sayyid Abdul Rahman bin Sayyid Muhammad al-Aidrus.
Beliau lebih dikenali sebagai Tok Ku Paloh. Gelaran lain beliau ialah Engku
Sayyid Paloh, Engku Cik, Tuan Cik dan Syaikh al-Islam Terengganu. Beliau lahir pada tahun 1233
Hijrah bersamaan dengan1817 Masihi dan meninggal dunia pada
bulan Zulhijjah 1335 Hijrah bersamaan dengan September 1917 Masihi.
Ayahnda beliau ialah Sayyid Muhammad bin Sayyid Zainal Abidin al-Aidrus atau
dikenali sebagai Tok Ku Tuan
Besar di Terengganu.
Adik-beradik kandung Tok Ku Paloh ialah
Saiyid Zainal Abidin al-Aidrus yang dikenali sebagai Engku
Sayyid Seri Perdana, Sayyid Ahmad al-Aidrus yang dikenali sebagai Tok
Ku Tuan Ngah Seberang Baruhdan Sayyid Mustafa al-Aidrus yang
dikenali sebagai Tok Ku Tuan
Dalam, Tuan Embung Abu Bakar yang dikenali sebagai Tuan Embung
Solok atau Tok Ku Tuan Kecik dan Tuan Nik (Senik).
Tok Ku Paloh dikurniakan umur yang panjang.
Bererti ketika meninggal dunia Tok Ku Paloh berusia sekitar 102 tahun menurut
perhitungan tahun Hijrah atau 100 tahun menurut tahun Masihi.
Beliau ialah seorang ulama dan Ahli Majlis
Mesyuarat Negeri semasa pemerintahan Sultan Zainal
Abidin III.
Keturunan
Rasulullah SAW
Tokku Paloh adalah generasi ke-32 daripada
Rasulullah SAW dan beliau datang dari kabilah Al-Aidrus. Nasab sebelah bapanya
sampai kepada Sayidina Hussein r.a. anak Sayidatina Fatimah Az-Zahrah r.ha.
binti Rasulullah SAW. lbu Tokku Paloh, Hajah Aminah, ialah isteri pertama
daripada beberapa orang isteri Sayyid Muhammad yang terkenal dengan gelaran
Tokku Tuan Besar.
Dengan itu nyatalah Tokku Paloh itu bukan
saja berketurunan Rasulullah SAW yang mulia malah mendapat didikan dan asuhan
dalam keluarga yang kuat beragama. Semua adik-beradiknya juga mempunyai
keahlian dalam hal-ehwal agama dan di antara yang terkenal ialah Sayyid Zain
(dilantik menjadi Menteri Besar pada tahun 1864 oleh Sultan Omar), Sayyid Ahmad
(bergelar Tuan Ngah Seberang Baroh) dan Sayyid Mustaffa (seorang ulama yang
juga ahli Majlis Mesyuarat Negeri; merupakan salah seorang dan empat pembesar
yang pernah diwakilkan memegang pemerintahan negeri sewaktu Sultan Zainal
Abidin III melawat Siam pada Ogos 1896.
Pendidikan
Tok Ku Paloh telah belajar pelbagai bidang
ilmu daripada orang tuanya sendiri yang merupakan seorang ulama besar yang
mempunyai kedudukan tertinggi dalam urusan Islam di Terengganu. Beliau juga
berguru dengan Syeikh Wan Abdullah bin Muhammad Amin al-Fathani atau Tok Syeikh
Duyung. Tok Ku Paloh kemudiannya melanjutkan pelajarannya ke Mekah.
Antara yang menjadi gurunya disana ialah Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan dan
Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki.
Semasa melanjutkan pelajarannya di Mekah,
Tok Ku Paloh telah bersahabat dengan Syeikh Muhammad Zain bin Mustafa
al-Fathani, Syeikh Abdul Qadir bin Abdul Rahman al-Fathani, Syeikh Nawawi
al-Bantani, Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani (kelahiran Sungai Duyung Kecil,
Terengganu) dan ramai lagi.
Perjuangan
Dakwah
Setelah Tok Ku Paloh pulang dari Mekah,
beliau memusatkan aktivitinya di Kampung Paloh, Terengganu. Menurut Muhammad
Abu Bakar, Kampung Paloh didatangi orang daripada pelbagai jurusan, bukan saja
dari sekitar Kuala Terengganu, tetapi juga dari Kelantan, Pahang dan Patani.
Diriwayatkan bahawa salah seorang murid Tok Ku Paloh ialah Sultan Zainal Abidin
III.
Kontroversi
Syahadat Tokku
Amalan Syahadat Tokku ini pernah menjadi
kontroversi apabila salah seorang pembawa amalan ini dihadap ke mahkamah kerana
dituduh sesat. Peristiwa ini berlaku kepada Tuan Haji Hussein Haji Mat yang
mengembangkan amalan ini di Kampung Gong Ubi Keling, Besut di mana dalam masa
yang singkat saja sudah meriah dengan ramai pengikut.
Tuan Haji Hussein tidak menolak kemungkinan
tindakan yang dikenakan ke atas dirinya itu didorong oleh iri hati dan hasad
dengki orang-orang tertentu kerana surau yang baru beliau bangunkan lebih
meriah berbanding dengan surau-surau lain. Mereka mendesak pihak berkuasa
mengambil tindakan ke atas beliau (Haji Hussein) atas alasan yang batil dan
fitnah.
Mengenang peristiwa pahit yang berlaku pada
sekitar tahun 1950 itu, Haji Hussein bercerita: "Hampir seribu orang yang
berada di Mahkamah Kadhi Besut untuk mendengar keputusan perbicaraan saya yang
dituduh sesat kerana mengamalkan Syahadat Tokku ini."
Orang ramai nampak cemas kerana peristiwa
ini besar dan kali pertama berlaku di Besut. Menurut Haji Hussein, sewaktu
perbicaraan, beliau disuruh membaca segala amalan yang diamalkannya selama ini.
"Saya pun membaca habis satu persatu
bermula dengan ratib Al-Hadad, Burdah dan akhirnya Syahadat Tokku. Selesai saya
membaca sernuanya, Hakim Cik Awing yang juga Kadhi Besut itu berkata: "Apa
yang Tuan Haji baca itu ada pada saya".
"Rupa-rupanya Tuan Hakim Cik Awing
juga mengamalkan Ratib Al-Hadad dan Syahadat Tokku. Kemudian saya dibebaskan
tanpa sebarang tindakan yang dikenakan malah nampaknya tuan hakim itu pula yang
seolah-olahnya menggalakkan amalan ini diteruskan. Mendengarkan keputusan yang
benar itu maka oriang ramai di luar mahkamah turut bersyukur dan ada yang
menitiskan air mata gembira", cerita Haji Hussein lagi. Sehingga kini Haji
Hussein terus mengamalkan Syahadat Tokku ini bersama-sama sahabat-sahabatnya,
amalan yang pada setengah orang jahil dikatakan 'syahadat tambahan'.
Syahadat Tokku yang disusun oleh wali Allah
itu terus popular di kalangan orang yang arif di banyak tempat dalam negeri
Terengganu. Amalan yang menjelaskan unsur-unsur tauhid dan pembersihan hati
yang amat diperlukan oleh seorang hamba terhadap Tuhannya, Allah SWT.
Kegiatan
Anti-Penjajah
Tok Ku Paloh ialah ulama yang tidak takut
menanggung risiko tinggi dalam perjuangan demi mempertahankan Islam dan bangsa
Melayu. Beliau melindungi pejuang-pejuang Islam dan Melayu yang bermusuh dengan
penjajah Inggeris pada zaman itu. Ada riwayat mengatakan Haji Abdur
Rahman Limbong dan Tok Janggut yang terlibat mengetuai
kegiatan anti-penjajah juga adalah murid Tok Ku Paloh.
Semangat jihadnya sungguh indah, menarik
dan ada hembusan segar seperti yang diriwayatkan oleh Muhammad Abu Bakar.
Katanya: “Dalam Perang Pahang, penentang-penentang British yang dipimpin oleh Datuk Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau hampir-hampir menyerah diri
setelah mengalami tekanan daripada kerajaan. “ Pada Mei 1894, mereka
menghubungi Tok Ku Paloh, dan mendapat simpati daripada ulama tersebut. Ini
bukan sahaja memberi nafas baru kepada perjuangan mereka, tetapi mereka juga
diberi perlindungan di Paloh serta diajar ilmu untuk menentang musuh mereka di
Pahang. Hugh Clifford dalam pemerhatiannya mengatakan Tok Ku Paloh telah
menyeru pahlawan-pahlawan itu melancarkan perang jihad. “Hasil semangat baru
yang diperoleh daripada Tok Ku Paloh, serta penambahan kekuatan, pasukan
pahlawan menjadi lebih besar dan tersusun.”
Keramat Tok Ku Paloh
Ada diceritakan bahawa apabila Inggeris cuba berunding meminta tanah kepada Sultan Zainal Abidin, baginda menyuruh mereka berjumpa Tokku Paloh kerana katanya Terengganu ini ada tuannya... Maksudnya Tokku Paloh lah yang lebih berhak membuat keputusan. Pegawai Inggeris telah pergi ke rumah wali Allah itu untuk berunding. Tokku Paloh bertegas tidak mahu memberi walau seinci pun tanah. Inggeris yang berang bangun untuk menunjukkan kemarahan tetapi kerusi pula melekat dipunggung mereka. Lalu Tokku Paloh memerli mereka: "Sudahlah tanah kita mahu diambil, kerusi kita pun mahu dibawa lari..."
Dalam peristiwa lain pula, Inggeris mengajak Tokku Paloh berunding di atas kapal perang. Tujuan mereka adalah untuk mengugut secara halus dengan mempamirkan kekuatan angkatan laut mereka dengan meriam berkuasa tinggi yang mampu membedil pantai Terengganu, satu taktik yang dikenali sebagai "gunboat diplomacy". Tokku Paloh cuma menyengetkan serbannya lalu seluruh armada kapal laut Inggeris turut senget sama! Pada masa yang lain pula, mereka cuba menghampiri perairan Terengganu tetapi melihat ia dijaga pahlawan-pahlawan Melayu siap bersenjata sejauh mata memandang. Ini menyebabkan mereka takut menjajah Terengganu selagi Tokku Paloh masih hidup. Selepas beliau meninggal dunia, tepat pada 24 Mei 1919 barulah Inggeris dapat mencampuri kerajaan Terengganu.
Mat Kilau Menguji
Kepandaian Silat Tokku Paloh
Seperti apa yang
dimaklumkan kepada Aki oleh salah seorang anak murid Tokku Paloh yang masih
hidup sehingga tahun awal 90-an (Pok Leh) semasa beliau bertandang ke rumah
Aki. Pahlawan Mat Kilau yang pernah berlindung di rumah Tokku Paloh pernah
bermuzakarah perihal keagamaan dan persilatan.
Mat Kilau ingin mencuba
kehebatan persilatan Tokku Paloh dan kedua-duanya bersetuju sambil berdiri
memegang sebilah keris.
Apa bila saat memulakan
langkah, tiba-tiba Tokku Paloh ghaib dari pandangan mata Mat Kilau dan
secara tiba-tiba juga Tokku Paloh mengunci Mat Kilau dari belakang dan
meletakkan kerisnya ke leher Mat Kilau dan sepantas itu juga permainan mereka
tamat.
Makam itu terletak 2km daripada Kampung Paloh iaitu di suatu tempat bernama Cabang Tiga... Di Masjid Tokku Tuan Besar yang memakai nama sempena nama gelaran ayahandanya itu!
Makam itu terletak 2km daripada Kampung Paloh iaitu di suatu tempat bernama Cabang Tiga... Di Masjid Tokku Tuan Besar yang memakai nama sempena nama gelaran ayahandanya itu!
RENUNGAN :
TUNTUTLAH ILMU YANG MEMBERI MANAFAAT DAN BERAMALLAH DENGAN IKHLAS DAN BERSUNGGUH-SUNGGUH. CARILAH GURU YANG MURSYID. INGATLAH ALLAH SELALU.
TUNTUTLAH ILMU YANG MEMBERI MANAFAAT DAN BERAMALLAH DENGAN IKHLAS DAN BERSUNGGUH-SUNGGUH. CARILAH GURU YANG MURSYID. INGATLAH ALLAH SELALU.