Tuesday 28 January 2014

TOK KU PALOH





Saiyid Abdur Rahman bin Saiyid Muhammad al-Aidrus
Latar Belakang
Nama penuh beliau ialah Sayyid Abdul Rahman bin Sayyid Muhammad al-Aidrus. Beliau lebih dikenali sebagai Tok Ku Paloh. Gelaran lain beliau ialah Engku Sayyid Paloh, Engku Cik, Tuan Cik dan Syaikh al-Islam Terengganu. Beliau lahir pada tahun 1233 Hijrah bersamaan dengan1817 Masihi dan meninggal dunia pada bulan Zulhijjah 1335 Hijrah bersamaan dengan September 1917 Masihi. Ayahnda beliau ialah Sayyid Muhammad bin Sayyid Zainal Abidin al-Aidrus atau dikenali sebagai Tok Ku Tuan Besar di Terengganu.
Adik-beradik kandung Tok Ku Paloh ialah Saiyid Zainal Abidin al-Aidrus yang dikenali sebagai Engku Sayyid Seri Perdana, Sayyid Ahmad al-Aidrus yang dikenali sebagai Tok Ku Tuan Ngah Seberang Baruhdan Sayyid Mustafa al-Aidrus yang dikenali sebagai Tok Ku Tuan Dalam, Tuan Embung Abu Bakar yang dikenali sebagai Tuan Embung Solok atau Tok Ku Tuan Kecik dan Tuan Nik (Senik).
Tok Ku Paloh dikurniakan umur yang panjang. Bererti ketika meninggal dunia Tok Ku Paloh berusia sekitar 102 tahun menurut perhitungan tahun Hijrah atau 100 tahun menurut tahun Masihi.
Beliau ialah seorang ulama dan Ahli Majlis Mesyuarat Negeri semasa pemerintahan Sultan Zainal Abidin III.
Keturunan Rasulullah SAW
Tokku Paloh adalah generasi ke-32 daripada Rasulullah SAW dan beliau datang dari kabilah Al-Aidrus. Nasab sebelah bapanya sampai kepada Sayidina Hussein r.a. anak Sayidatina Fatimah Az-Zahrah r.ha. binti Rasulullah SAW. lbu Tokku Paloh, Hajah Aminah, ialah isteri pertama daripada beberapa orang isteri Sayyid Muhammad yang terkenal dengan gelaran Tokku Tuan Besar.
Dengan itu nyatalah Tokku Paloh itu bukan saja berketurunan Rasulullah SAW yang mulia malah mendapat didikan dan asuhan dalam keluarga yang kuat beragama. Semua adik-beradiknya juga mempunyai keahlian dalam hal-ehwal agama dan di antara yang terkenal ialah Sayyid Zain (dilantik menjadi Menteri Besar pada tahun 1864 oleh Sultan Omar), Sayyid Ahmad (bergelar Tuan Ngah Seberang Baroh) dan Sayyid Mustaffa (seorang ulama yang juga ahli Majlis Mesyuarat Negeri; merupakan salah seorang dan empat pembesar yang pernah diwakilkan memegang pemerintahan negeri sewaktu Sultan Zainal Abidin III melawat Siam pada Ogos 1896.
Pendidikan
Tok Ku Paloh telah belajar pelbagai bidang ilmu daripada orang tuanya sendiri yang merupakan seorang ulama besar yang mempunyai kedudukan tertinggi dalam urusan Islam di Terengganu. Beliau juga berguru dengan Syeikh Wan Abdullah bin Muhammad Amin al-Fathani atau Tok Syeikh Duyung. Tok Ku Paloh kemudiannya melanjutkan pelajarannya ke Mekah. Antara yang menjadi gurunya disana ialah Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan dan Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki.
Semasa melanjutkan pelajarannya di Mekah, Tok Ku Paloh telah bersahabat dengan Syeikh Muhammad Zain bin Mustafa al-Fathani, Syeikh Abdul Qadir bin Abdul Rahman al-Fathani, Syeikh Nawawi al-Bantani, Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani (kelahiran Sungai Duyung Kecil, Terengganu) dan ramai lagi.
Perjuangan Dakwah
Setelah Tok Ku Paloh pulang dari Mekah, beliau memusatkan aktivitinya di Kampung Paloh, Terengganu. Menurut Muhammad Abu Bakar, Kampung Paloh didatangi orang daripada pelbagai jurusan, bukan saja dari sekitar Kuala Terengganu, tetapi juga dari Kelantan, Pahang dan Patani. Diriwayatkan bahawa salah seorang murid Tok Ku Paloh ialah Sultan Zainal Abidin III.
Kontroversi Syahadat Tokku
Amalan Syahadat Tokku ini pernah menjadi kontroversi apabila salah seorang pembawa amalan ini dihadap ke mahkamah kerana dituduh sesat. Peristiwa ini berlaku kepada Tuan Haji Hussein Haji Mat yang mengembangkan amalan ini di Kampung Gong Ubi Keling, Besut di mana dalam masa yang singkat saja sudah meriah dengan ramai pengikut.
Tuan Haji Hussein tidak menolak kemungkinan tindakan yang dikenakan ke atas dirinya itu didorong oleh iri hati dan hasad dengki orang-orang tertentu kerana surau yang baru beliau bangunkan lebih meriah berbanding dengan surau-surau lain. Mereka mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan ke atas beliau (Haji Hussein) atas alasan yang batil dan fitnah.
Mengenang peristiwa pahit yang berlaku pada sekitar tahun 1950 itu, Haji Hussein bercerita: "Hampir seribu orang yang berada di Mahkamah Kadhi Besut untuk mendengar keputusan perbicaraan saya yang dituduh sesat kerana mengamalkan Syahadat Tokku ini."
Orang ramai nampak cemas kerana peristiwa ini besar dan kali pertama berlaku di Besut. Menurut Haji Hussein, sewaktu perbicaraan, beliau disuruh membaca segala amalan yang diamalkannya selama ini.
"Saya pun membaca habis satu persatu bermula dengan ratib Al-Hadad, Burdah dan akhirnya Syahadat Tokku. Selesai saya membaca sernuanya, Hakim Cik Awing yang juga Kadhi Besut itu berkata: "Apa yang Tuan Haji baca itu ada pada saya".
"Rupa-rupanya Tuan Hakim Cik Awing juga mengamalkan Ratib Al-Hadad dan Syahadat Tokku. Kemudian saya dibebaskan tanpa sebarang tindakan yang dikenakan malah nampaknya tuan hakim itu pula yang seolah-olahnya menggalakkan amalan ini diteruskan. Mendengarkan keputusan yang benar itu maka oriang ramai di luar mahkamah turut bersyukur dan ada yang menitiskan air mata gembira", cerita Haji Hussein lagi. Sehingga kini Haji Hussein terus mengamalkan Syahadat Tokku ini bersama-sama sahabat-sahabatnya, amalan yang pada setengah orang jahil dikatakan 'syahadat tambahan'.
Syahadat Tokku yang disusun oleh wali Allah itu terus popular di kalangan orang yang arif di banyak tempat dalam negeri Terengganu. Amalan yang menjelaskan unsur-unsur tauhid dan pembersihan hati yang amat diperlukan oleh seorang hamba terhadap Tuhannya, Allah SWT.


Kegiatan Anti-Penjajah
Tok Ku Paloh ialah ulama yang tidak takut menanggung risiko tinggi dalam perjuangan demi mempertahankan Islam dan bangsa Melayu. Beliau melindungi pejuang-pejuang Islam dan Melayu yang bermusuh dengan penjajah Inggeris pada zaman itu. Ada riwayat mengatakan Haji Abdur Rahman Limbong dan Tok Janggut yang terlibat mengetuai kegiatan anti-penjajah juga adalah murid Tok Ku Paloh.
Semangat jihadnya sungguh indah, menarik dan ada hembusan segar seperti yang diriwayatkan oleh Muhammad Abu Bakar. Katanya: “Dalam Perang Pahang, penentang-penentang British yang dipimpin oleh Datuk BahamanTok Gajah dan Mat Kilau hampir-hampir menyerah diri setelah mengalami tekanan daripada kerajaan. “ Pada Mei 1894, mereka menghubungi Tok Ku Paloh, dan mendapat simpati daripada ulama tersebut. Ini bukan sahaja memberi nafas baru kepada perjuangan mereka, tetapi mereka juga diberi perlindungan di Paloh serta diajar ilmu untuk menentang musuh mereka di Pahang. Hugh Clifford dalam pemerhatiannya mengatakan Tok Ku Paloh telah menyeru pahlawan-pahlawan itu melancarkan perang jihad. “Hasil semangat baru yang diperoleh daripada Tok Ku Paloh, serta penambahan kekuatan, pasukan pahlawan menjadi lebih besar dan tersusun.”
Keramat Tok Ku Paloh

Ada diceritakan bahawa apabila Inggeris cuba berunding meminta tanah kepada Sultan Zainal Abidin, baginda menyuruh mereka berjumpa Tokku Paloh kerana katanya Terengganu ini ada tuannya... Maksudnya Tokku Paloh lah yang lebih berhak membuat keputusan. Pegawai Inggeris telah pergi ke rumah wali Allah itu untuk berunding. Tokku Paloh bertegas tidak mahu memberi walau seinci pun tanah. Inggeris yang berang bangun untuk menunjukkan kemarahan tetapi kerusi pula melekat dipunggung mereka. Lalu Tokku Paloh memerli mereka: "Sudahlah tanah kita mahu diambil, kerusi kita pun mahu dibawa lari..."


Dalam peristiwa lain pula, Inggeris mengajak Tokku Paloh berunding di atas kapal perang. Tujuan mereka adalah untuk mengugut secara halus dengan mempamirkan kekuatan angkatan laut mereka dengan meriam berkuasa tinggi yang mampu membedil pantai Terengganu, satu taktik yang dikenali sebagai "gunboat diplomacy". Tokku Paloh cuma menyengetkan serbannya lalu seluruh armada kapal laut Inggeris turut senget sama! Pada masa yang lain pula, mereka cuba menghampiri perairan Terengganu tetapi melihat ia dijaga pahlawan-pahlawan Melayu siap bersenjata sejauh mata memandang. Ini menyebabkan mereka takut menjajah Terengganu selagi Tokku Paloh masih hidup.  Selepas beliau meninggal dunia, tepat pada 24 Mei 1919  barulah Inggeris dapat mencampuri kerajaan Terengganu.


Mat Kilau Menguji Kepandaian Silat Tokku Paloh

Seperti apa yang dimaklumkan kepada Aki oleh salah seorang anak murid Tokku Paloh yang masih hidup sehingga tahun awal 90-an (Pok Leh) semasa beliau bertandang ke rumah Aki. Pahlawan Mat Kilau yang pernah berlindung di rumah Tokku Paloh pernah bermuzakarah perihal keagamaan dan persilatan.
Mat Kilau ingin mencuba kehebatan persilatan Tokku Paloh dan kedua-duanya bersetuju sambil berdiri memegang sebilah keris.
Apa bila saat memulakan langkah, tiba-tiba  Tokku Paloh ghaib dari pandangan mata Mat Kilau dan secara tiba-tiba juga Tokku Paloh mengunci Mat Kilau dari belakang dan meletakkan kerisnya ke leher Mat Kilau dan sepantas itu juga permainan mereka tamat.

Makam itu terletak 2km daripada Kampung Paloh iaitu di suatu tempat bernama Cabang Tiga... Di Masjid Tokku Tuan Besar yang memakai nama sempena nama gelaran ayahandanya itu!


Makam itu terletak 2km daripada Kampung Paloh iaitu di suatu tempat bernama Cabang Tiga... Di Masjid Tokku Tuan Besar yang memakai nama sempena nama gelaran ayahandanya itu!


Murid  Tokku Paloh







RENUNGAN :

TUNTUTLAH  ILMU YANG MEMBERI MANAFAAT DAN BERAMALLAH DENGAN IKHLAS DAN BERSUNGGUH-SUNGGUH. CARILAH GURU YANG MURSYID. INGATLAH ALLAH SELALU.









Monday 6 January 2014

TOK KENALI






Tok Kenali ialah satu nama yang paling terkenal dalam dunia pengajian Islam menggunakan sistem pondok di Malaysia. Bahkan beliau juga terkenal di seluruh alam Melayu. Oleh itu, memang riwayat beliau perlu diketahui oleh masyarakat. Dalam dua keluaran terakhir perbicaraan tentang ulama, telah disentuh perjuangan tokoh yang antipenjajah (Tok Ku Paloh Terengganu dan Haji Sulong al-Fathani). Ada orang berpendapat bahawa Tok Kenali tidak pernah terlibat dalam perjuangan yang bercorak demikian.
Bagi saya, pendapat seperti demikian itu adalah hanya ditinjau dari satu sudut yang belum menyeluruh.
Tok Kenali ialah murid yang paling dipercayai oleh Syeikh Ahmad al-Fathani, oleh itu hampir-hampir tidak ada satu rahsia perjuangan Syeikh Ahmad al-Fathani yang tidak diketahui oleh Tok Kenali. Di sini saya sentuh sedikit saja. Syeikh Ahmad al-Fathani ialah tokoh pertama dari lingkungan dunia Melayu sejagat yang secara diplomatik pergi ke Istanbul, Turki untuk melaporkan perbuatan tiga bangsa yang menjajah di dunia Melayu ketika itu. Bangsa-bangsa itu ialah Inggeris, Belanda dan Siam. Walau bagaimanapun, supaya suasana tidak selalu keras dan tegang dalam corak pemikiran jihad zhahiri, kisah Tok Kenali saya fokuskan kepada pemikiran jihad shufi. Jihad zhahiri lebih menitikberatkan perjuangan secara fizikal, sedang jihad shufi lebih mengutamakan pembinaan dalaman, qalbi atau hati dan rohani. Kedua-dua jenis jihad itu adalah penting dikombinasikan secara sepadu. Selain itu dalam disiplin ilmu akidah dan tasawuf ia dikenali dengan istilah ‘Wali Allah’ dan ‘karamah’ (istilah Melayu: keramat).
Tradisi penulisan para ulama Islam juga banyak menceritakan tentang ‘karamah’ para Wali Allah. Tulisan saya dalam Utusan Malaysia yang telah lalu (133 siri) tentang ‘karamah’ sengaja tidak saya sentuh kerana saya lebih mengutamakan riwayat yang berdasarkan fakta. Oleh kerana ramai yang minta kepada saya supaya menulis tentang karamah yang pernah berlaku pada Tok Kenali maka permintaan itu saya paparkan berdasarkan cerita yang telah saya kumpulkan daripada pelbagai sumber sejak tahun 1950-an lagi.
Karamah Tok Kenali
Nama sebenar Tok Kenali ialah Haji Muhammad Yusuf bin Ahmad al-Kalantani, lahir pada 1287 H/1871 M, wafat Ahad, 2 Syaaban 1352 H/19 November 1933 M. Yang saya riwayatkan ini adalah berdasarkan pelbagai cerita yang saya dengar, oleh itu tidak terikat sangat dalam sistem penulisan ilmiah.
Yang saya ingat pada tahun 1953, ibu saya Hajah Wan Zainab binti Syeikh Ahmad al-Fathani hanya menyebut nama murid ayahnya itu dengan istilah Awang Kenali. Menurutnya, Syeikh Ahmad al-Fathanilah yang pertama menggunakan istilah ‘Awang’ itu. Riwayatnya, sewaktu Syeikh Ahmad al-Fathani menjadi utusan ulama Mekah ke Beirut dan Mesir untuk menyelesaikan pertikaian pendapat antara Saiyid Yusuf an-Nabhani (Beirut) dengan Syeikh Muhammad Abduh (Mesir) dalam rombongan itu, Awang Kenali ikut serta.
Ketika sampai di Bukit Tursina, kerana di tempat itulah Nabi Musa mendengar ‘Kalam Allah’, Syeikh Ahmad al-Fathani menyuruh murid-muridnya munajat secara khusus. Awang Kenali ditugaskan supaya minta menjadi ulama. Nik Mahmud ditugaskan munajat minta menjadi seorang pembesar Kelantan. Setelah Tok Kenali munajat, Syeikh Ahmad al-Fathani menyatakan bahawa ilmu Awang Kenali tinggi hanya mencapai ‘awan’ tidak menjangkau kepada langit. Ilmu yang sampai ke peringkat ‘awan’ itulah yang dapat dijangkau oleh kebanyakan ulama di tanah Jawi.
Daripada perkataan ‘awan’ itulah kemudian bertukar menjadi ‘Awang’. Cerita yang sama juga saya dengar daripada Haji Wan Ismail bin Hawan, Qadhi Jala (cerita didengar pada tahun 1970). Dalam surat-surat Syeikh Ahmad al-Fathani kepada pihak lain, termasuk kepada orang Arab dan Turki, apabila melibatkan muridnya itu, beliau mengekalkan tulisan dengan istilah ‘Awan Kenali’ saja tanpa menyebut nama lainnya.
Pada tahun 1969 saya dengar cerita bahawa Tok Kenali pertama-tama datang ke Mekah penuh dengan peristiwa yang pelik-pelik (ajaib). Kehidupan sehari-harinya penuh dengan tawakal. Beliau tidak mempunyai pakaian yang lebih daripada sehelai, tidak memiliki wang, tidak siapa mengetahui beliau makan ataupun tidak pada setiap hari siang ataupun malam. Hampir-hampir tidak ada orang yang mengenalinya di Mekah ketika itu.
Orang yang tidak mengenalinya hanya memperhatikan keanehannya berada dari satu halaqah ke satu halaqah yang lain dalam Masjid Haram, Mekah. Keberadaannya dalam sesuatu halaqah tidak pula membawa sesuatu kitab seperti orang lainnya. Pada kebanyakan masa ketika duduk dalam halaqah beliau memejamkan mata, orang menyangka beliau bukan mendengar pelajaran tetapi tidur. Antara ulama yang mengajar dalam Masjid al-Haram ketika itu ada yang tembus pandangannya, diketahuinyalah bahawa pemuda yang aneh itu bukanlah sembarangan orang, martabatnya ialah seorang ‘Wali Allah’.
Walau bagaimanapun, tidak seorang ulama peringkat Wali Allah di Mekah mahu membuka rahsia itu kepada murid-muridnya. Ketika Tok Kenali sampai di Mekah, Syeikh Ahmad al-Fathani telah mengetahui pemuda yang berasal dari Kelantan itu, tetapi sengaja tidak dipedulikannya kerana pada firasat Syeikh Ahmad al-Fathani pemuda Kelantan itu sama ada lekas ataupun lambat akan datang juga kepada beliau.
Dalam masa berbulan-bulan peristiwa seperti di atas, pada satu ketika Tok Kenali mengunjungi halaqah Syeikh Ahmad al-Fathani. Tok Kenali duduk jauh di belakang pelajar-pelajar lain. Syeikh Ahmad al-Fathani telah mempersiapkan sekurang-kurangnya tiga kemusykilan atau masalah, yang pada pemikiran Syeikh Ahmad al-Fathani tidak akan dapat dijawab oleh siapa pun yang hadir dalam majlis pengajiannya, kecuali seseorang itu memiliki pandangan ‘kasyaf’ ataupun telah memperoleh ‘ilmu ladunni’.
Sewaktu Syeikh Ahmad al-Fathani melemparkan pengujian atau pertanyaan kepada semua pelajar, Tok Kenali seperti orang tidur-tidur saja. Semua pelajar terdiam, tidak seorang pun berkemampuan menjawab masalah yang dikemukakan oleh Syeikh Ahmad al-Fathani. Tiba-tiba Syeikh Ahmad al-Fathani menyergah pemuda Kelantan yang sedang tidur. Pemuda itu terkejut. Syeikh Ahmad al-Fathani menyuruhnya supaya datang ke hadapan duduk bersama beliau. Disuruhnya pemuda Kelantan itu menjawab masalah ujian yang dikemukakan lalu semuanya dijawab dengan sejelas-jelasnya.
Setelah peristiwa itu Tok Kenali menjadi murid yang paling mesra dengan Syeikh Ahmad al-Fathani. Bahkan Tok Kenali menjadikan dirinya sebagai ‘khadam’ kepada Syeikh Ahmad al-Fathani. Seluruh gerak dan diam Tok Kenali hanyalah berkhidmat kepada gurunya itu, kerana diketahuinya bahawa seluruh kerja Syeikh Ahmad al-Fathani semata-mata untuk kepentingan agama Islam dan bukan kepentingan peribadinya. (Cerita yang sama juga didengar daripada Tuan Guru Haji Mahmud bin Yusuf Juani di Pondok Gajah Mati, Kedah pada tahun 1970. Beliau ialah murid Tok Bermin, sahabat Tok Kenali).
Hampir semua murid Tok Kenali yang pernah saya temui meriwayatkan bahawa orang yang pernah belajar dengan Tok Kenali semuanya mendapat kedudukan dalam masyarakat. Apabila seseorang murid itu lebih berkhidmat kepada beliau maka ternyata akan lebih pula ilmu yang diperolehnya. Demikian juga kedudukan dalam masyarakat. Yang dimaksudkan berkhidmat di sini ialah ada yang pernah menyiram Tok Kenali ketika mandi. Bahkan ada murid yang pernah membasuh beraknya sesudah buang air besar.
Murid yang sampai kepada kedua-dua peringkat ini saja yang menjadi ulama besar, antara mereka termasuk Syeikh Idris al-Marbawi dan Syeikh Utsman Jalaluddin Penanti. (Sumber cerita ini daripada murid beliau, Tuan Guru Haji Abdur Rahman bin Husein al-Kalantani, Mufti Mempawah, yang didengar pada tahun 1969 di Mempawah; Tuan Guru Haji Mahmud di Gajah Mati, Kedah pada tahun 1970; Qadhi Haji Wan Ismail bin Hawan di Jala pada tahun 1970; Tuan Guru Haji Abdur Rahim Kelantan di Mekah pada tahun 1979, dan masih ada yang lain yang belum perlu disebutkan.)
Walaupun telah diketahui umum Tok Kenali berasal dari Kelantan tetapi sewaktu saya mengembara ke negeri Caiyya (nama asalnya Cahaya) yang terletak jauh ke Utara Patani dan Senggora, orang tua-tua bercerita bahawa asal usul datuk nenek Tok Kenali adalah dari Cahaya. Diriwayatkan ada dua atau tiga kali Tok Kenali pernah datang ke negeri Cahaya. Setiap kali Tok Kenali datang beliau dimuliakan orang. Tempat yang menjadi laluan Tok Kenali dihamparkan dengan kain kuning, demikian juga tempat duduknya. Orang ramai datang berduyun-duyun menziarahi Tok Kenali kerana mengambil berkat keramatnya. Ada orang tertentu yang didoakan oleh Tok Kenali ternyata dikabulkan oleh Allah sebagaimana doa yang beliau ucapkan (riwayat ini didengar di Caiya (Cahaya) pada 1992).
Penulisan
Penglibatan Tok Kenali dalam penulisan adalah sebagai bukti beliau seperti juga ulama-ulama terkenal lainnya. Beliau ialah Ketua Pengarang majalah Pengasuh yang pertama ketika majalah itu mula-mula diterbitkan. Dari sini dapat kita buktikan bahawa majalah Pengasuh merupakan majalah Islam yang paling lama dapat bertahan di Nusantara. Majalah Pengasuh masih kekal diterbitkan hingga sekarang ini (1427 H/2006 M) oleh Majlis Agama Islam Kelantan. Semua majalah Islam di Nusantara yang diterbitkan peringkat awal, bahkan termasuk yang agak terkebelakang, semuanya tidak diterbitkan lagi.
Karya-karya Tok Kenali yang ditulis dalam bentuk risalah atau kitab pula antaranya ialah Risalatud Durril Mantsur, yang selesai ditulis pada bulan Jumadil Akhir 1310 H/Disember 1892 M. Kandungannya merupakan terjemahan dan penjelasan fadhilat Burdah Bushiri. Dicetak dalam bentuk huruf batu/litografi oleh Syeikh Abdullah Mujallid, Mekah pada Jumadilakhir 1310 H.
Karya Tok Kenali dalam bidang ilmu sharaf pula ialah Madkhal Kamil fi ‘Ilmis Sharfi, selesai penulisan pada 15 Rabiulawal 1351 H. Kandungan merupakan karya tashhih tentang ilmu sharaf. Kemungkinan maksud daripada gurunya Syeikh Ahmad al-Fathani, iaitu karya berjudul Abniyatul Asma’ wal Af’al. Dicetak oleh Mathba’ah al-Asasiyah al-Kalantaniyah atas perbelanjaan Haji Wan Daud bin Haji Wan Sufyan.
Karya Tok Kenali dalam bidang ilmu nahu pula ialah Mulhiq li Miftahit Ta’allum fi I’rabi Matnil Ajrumiyah wal Amtsilah ‘ala Ratbih, selesai penulisan pada 29 Sya’ban 1354 H. Membicarakan ilmu nahu merupakan huraian kitab Matn al-Ajrumiyah. Kitab ini dikumpulkan atau ditulis kembali oleh salah seorang muridnya iaitu Tuan Guru Haji Abdullah Thahir bin Ahmad, Bunut Payung. Dicetak oleh Persama Press, Pulau Pinang atas kehendak Tuan Guru Abdullah Thahir bin Ahmad bin Muhammad Zain pada 9 Safar 1356 H.


Gambar Guru Tok Kenali

1. Tuan Guru Ahmad Al Fatani





2. Di antara murid Tok Kenali 



SYEIKH MAHMUD NASRI OTHMANI

Di antara murid Syeikh  Mahmud yang boleh di hubungi ialah Syeikh Ahmad Junaidi yang berada di Selama, Perak. Pengasas Angkatan Bina Jati Diri Malaysia.






Rujukan : http://jalanakhirat.wordpress.com/2010/03/05/tok-kenali/